Monday, November 17, 2008

KONVOI TAHABAS "GAWAI NERABAI MENOA"

Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS) disokong oleh Borneo Resources Institute Malaysia (BRIMAS), Sarawak Dayak Iban Association (SADIA) dan Jaringan Orang Asal Semalaysia (JOAS) telah mengadakan satu konvoi dari utara ke selatan Sarawak bermula pada 7hb sampai 10hb November 2008.

Semasa konvoi tersebut, rombongan konvoi ini berhenti di beberapa buah rumah panjang iaitu Rumah Bundak di Balingian dan Rumah Unggi di Klauh Sri Aman.

Pada 9hb - 10hb November 2008 iaitu destinasi terakhir konvoi TAHABAS akan diadakan satu perayaan yang dinamakan "GAWAI NERABAI MENOA" di Kampung Sungai Limo, Lundu, Kuching, Sarawak.

Tujuan perayaan "Gawai NERABAI MENOA" ini diadakan adalah untuk menghimpunkan orang asal di seluruh Sarawak dan untuk memberi ceramah dan perkongsian pengalaman daripada wakil-wakil orang asal tentang Hak Keatas Tanah Adat. Kemuncak perayaan "Gawai Nerabai Menoa ini adalah penyerahan "Memorandum Gawai Nerabai Menoa" kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang bersidang di Kuching. Memorandum ini adalah berkenaan hak-hak orang asal yang semakin tertindas terutamanya berkaitan dengan tanah hak adat bumiputera (NCR).

Konvoi TAHABAS ini dimulai oleh kumpulan kecil apabila bertolak dari Miri. Kemudian kumpulan ini bertambah besar dan terus membesar kerana di setiap bahagian di Sarawak ada kumpulan yang mengikuti konvoi ini menunggu di kawasan mereka. Rombongan konvoi ini akan berhenti ditempat di mana kumpulan tersebut menunggu dan kemudian sama-sama berkonvoi ke destinasi terakhir.

Semasa berlangsungnya perayaan ini di Kampung Sungai Limo, antara tetamu kehormat yang berucap adalah seperti En. Baru Bian, Dr. Patau Rubis dan En. Nicholas Bawin. Kata-kata ucapan yang disampaikan oleh speaker-speaker ini telah membangkitkan semangat orang asal untuk berjuang mempertahankan hak-hak mereka terutamanya keatas tanah adat mereka.

Pada 10hb November 2008, acara kemuncak iaitu penyerahan "Memorandum Gawai Nerabai Menoa" dilakukan di Dewan Undangan Negeri pada pukul 2 lebih petang. Orang-orang asal dari seluruh Sarawak ini berhimpun mengadakan satu demontrasi secara aman lebih daripada 30 minit.

Orang-orang asal ini merentangkan kain-kain rentang yang telah ditulis dengan berbagai-bagai perkataan untuk melaungkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan negeri kerana hak-hak mereka ditindas dan tanah adat mereka dirampas daripada mereka. Selain itu, orang-orang asal ini turut meminta supaya wakil rakyat kerajaan kawasan mereka turun ke pekarangan dewan untuk bertemu mereka tetapi tiada seorang pun wakil rakyat orang asal yang turun untuk berjumpa dengan rakyat kawasannya. Ini menunjukkan wakil-wakil rakyat kerajaan ini tidak perihatin akan masalah yang dihadapi oleh rakyat kawasan mereka.

Memorandum tersebut akhirnya diterima oleh Setiausaha Dewan Undangan Negeri Sarawak dan diserahkan oleh Pengerusi TAHABAS iaitu En. Augustine Bagat dan disaksikan oleh semua pihak termasuk wartawan dan beliau diarahkan supaya menyampai memorandum tersebut semasa dewan bersidang.

Wakil rakyat PKR, YB Dominique Ng juga berjanji akan memastikan semua wakil rakyat dalam dewan undangan negeri mendapat memorandum tersebut. "Memorandum ini sepatutnya didengarkan bukan di luar dewan tetapi didengarkan di dalam dewan", menurut YB Dominique Ng.

Orang-orang asal bersurai selepas semua perkara selesai.