Tuesday, May 12, 2009

DEMOKRASI DI HUJUNG RM

By: MUKIM SOOK

Adalah menjadi satu keaiban yang tidak berpenghujung apabila nilai demokrasi dalam sesebuah negara itu ditentukan dihujung wang ringgit alias RM. Kekeruhan politik di negeri perak belum reda dengan episod culik, ugut dan habuan, timbul lagi satu kekosongan kerusi bagi parlimen Bukit Gantang setelah MPnya kembali ke rahmatullah. Peralihan kuasa di perak sempat dikomentari oleh Tengku Razalegh Hamzah dengan syair yang indah, “BN ambil kerajaan perak seperti penyamun”. Benar-benar situasi dan kondisi politik tanah air kita bergelora, bergelombang dan kencang menghampas karang di pinggir samudera.

Setelah beberapa hari kita saksikan pergolakan politik perak sehingga membawa kepada pertukaran kerajaan, dalam waktu yang singkat ini kita akan saksikan pula dua pilihan raya kecil iaitu di Pensiangan Sabah dan Bukit Gantang Perak. Hari demi hari kita semakin berdepan dengan kemelut politik yang kian mendung sehingga sempat menggugat stabilisasi roda perekonomian dan aktiviti harian warga.

Seperti yang lalu, dengan hadirnya pilihan raya kecil maka berguguranlah RM ke bumi tak terkira. Permatang Pauh dan Kuala Terengganu sebelum ini dihebohkan dengan bayaran tinggi mencacah ribuan ringgit untuk seorang pengundi BN. Di dua tempat ini ternyata RM gagal mengelabui bola mata warga yang tetap komited bertahan dengan prinsip jiwa dan sikap diri yang luhur. Gagal mencari kemenangan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, sekali lagi BN yang dimotori oleh bung Najib menghadirkan drama paling tragis apabila menahan, menculik, memeras serta menjanjikan habuan puluhan juta ringgit kepada dua Adun perak sehingga hasrat beliau membentuk kerajaan BN perak tercapai. Adakah drama ini merupakan satu andaian atau rekayasa sahaja? Sungguh, seluruh negara juga sedar bahawa kejatuhan kerajaan perak bukan secara demokrasi tulin tetapi ditentukan oleh kuasa RM.

Selepas ini adegan di Bukit Gantang dan Pensiangan bakal menjawab segala nilai demokrasi yang sejati. Andai saja di Bukit Gantang nanti BN gagal menawan kerusi itu daripada Pas, ternyata wibawa BN akan dilabel sebagai tidak relevan lagi menerajui negara ini. Demikian pula di pensiangan nanti. Andaikan BN gagal juga menawan kerusi panas ini, BN khususnya pak Najib benar-benar hilang taji sekaligus bakal menjadi calon pemimpin nombor satu negara yang sangat diragui prestasinya.

Meski pun demikian, terhindarkah Bukit Gantang dan Pensiangan daripada hamburan RM seperti di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu? Mungkin sebaliknya. Andaian awal melalui wicara blog di seluruh negara menyebutkan, BN pasti menjadikan wang sebagai senjata paling gagah untuk merebut kerusi di dua parlimen ini. Kalau sekadar wang saja itu tidak mengapa asalkan jangan ada lagi orang yang akan “hilang”. Maka itu, sebagai warga yang bakal menghadapi tsunami RM nanti oleh BN, persiapkan diri dengan satu keyakinan, satu pendirian, satu pegangan dan satu keputusan. Walau bergunung harta yang BN hulurkan, silakan ambil saja tapi yakinlah bahawa keputusan di tangan anda.

Jika melihat wang tanpa satu kesedaran masa depan, itu bermakna hidup kita begitu rapuh diperkotak katikkan oleh penguasa yang rakus dan haloba. Untuk itu, jadilah warga yang bijak dan berpendirian. Jika ingin berubah, bertindaklah sebagai perwira yang cinta pada negeri ini. Kemakmuran masa depan adalah tanggungan kita terhadap nusa.

Bicara soal pendirian Karpal Singh, pengerusi DAP terhadap Anwar Ibrahim, kita harus terbuka dan berfikiran luas. Secara peribadi, kenyataan Karpal untuk menuding jari terhadap Anwar atas kejatuhan kerajaan perak serta ingin menyaman sultan perak, itu sekadar ucapan peribadinya saja dan bukan mewakili keputusan satu parti DAP. Walaupun beliau adalah ketua parti, tetapi tidak bermakna bahawa semua jajaran parti sependapat dengan beliau. Sama juga dengan Tun Mahathir yang menempelak pak Lah dan kepimpinan Umno sekarang, itu adalah ucapan peribadinya dan bukan mewakili seluruh anggota umno di negara ini. Maka itu, masalah seumpama ini hanya sekadar teknikal sahaja dan bukan merupakan sesuatu yang bersifat prinsipal. Kita yakin, ketua-ketua parti pakatan ini mampu menjaring satu solusi yang lebih mantap dan akurat demi kekuatan akan datang. Apapun, mari kita tanggapi segala persoalan dengan kepala dingin bukan dengan jiwa yang bergelora.

“Apa ertinya kemerdekaan jika demokrasinya ditentukan oleh wang ringgit?”


Sumber : http://www.mysook.net/

No comments: